Guru-guru dan staf sesi 2013

Guru-guru dan staf sesi 2013

Wednesday, May 16, 2012

Sambutan Hari Guru 2012

Selamat Hari Guru...

Rata-ratanya kita akan mendengar ucapan ini apabila tiba 16 Mei setiap tahun. Sudah pastinya insan-insan yang bergelar guru selalunya akan menerima ucapan ini samada melalui ucapan oleh para pelajar.....pesanan SMS dan kini ucapan-ucapan melalui facebook...

Dengan tema Hari Guru " GURU INOVATIF  MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA " , sambutan kali ini agak meriah berbanding tahun lepas.

Acara pagi dimulakan dengan pertandingan bola jaring bagi pelajar perempuan dan pertandingan sepak takraw bagi pelajar lelaki. Setiap pasukan terdiri daripada  yang melibatkan pelajar, guru dan tidak ketinggalan AJK PIBG. Seterusnya, acara sukanika.... pertandingan antara para guru dan para pelajar diadakan. Antara acara yang diadakan adalah isi air dalam botol, bawa bola pinpong dalam sudu dan baling bola dalam skital. Sudah pastinya kumpulan gurulah yang menjadi Johan.

Selepas waktu rehat... acara persembahan murid diadakan di dewan sekolah. Setiap kelas  membuat persembahan masing masing. Antaranya pantun oleh pelajar tahun 1, nyanyian " You are my sunshine" dan gimik watak guru oleh pelajar tahun 2, nyanyian oleh pelajar tahun 3, puisi oleh pelajar tahun 4, lakonan oleh pelajar tahun 5 dan nyanyian oleh pelajar tahun 6. Para guru turut menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia".

Setelah berakhirnya majlis, para pelajar turut memberikan hadiah kepada guru-guru mereka. 

 Terima Kasih kepada semua yang menjayakan majlis ini... para guru, pelajar dan AJK PIBG...


Thursday, May 3, 2012

Kem Bestari Solat

28/04/2012 (Sabtu)

Tugas para fasilitator untuk khemah ibadat belum selesai walaupun para pelajar tahun 5 dan 6 pulang ke rumah lebih kurang dalam pukul 9 pagi. Tugas mereka disambung dengan Kem Bestari Solat yang melibatkan pelajar tahun 1, tahun 2, tahun 3 dan tahun 4 pula. Walaupun para fasi agak keletihan, namun, demi tugas mendidik anak-anak bangsa menjadi insan kamil, tugas terus dilaksanakan tanpa menghirau penat yang bersarang.




Semoga ilmu yang dicurahkan oleh para fasi dapat dimanafaatkan oleh para peserta. Diharap agar para pelajar akan menjadi insan yang berilmu dunia dan akhirat.

Khemah Ibadat 2012

27/04/2012 ( Jumaat)

Buat julung-julung kalinya, SK Kundang Patah telah mengadakan perkhemahan ibadat bagi pelajar-pelajar tahun 5 dan tahun 6. Perkhemahan ini mendapat sambutan hangat daripada para pelajar yang teruja untuk bermalam di sekolah dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan oleh para fasilitator. Pendaftaran pelajar bermula pada pukul 3 petang, usai solat Jumaat. Setelah pendaftaran dan pembahagian kumpulan, sesi ceramah berkenaan solat berjemaah disampaikan oleh Ustaz Afiq ( Guru Praktikum dari IPTAA).




Para pelajar tekun mendengar ceramah oleh Ustaz Afiq
Selepas solat Magrib, diadakan bacaan yasin dan solat hajat di Masjid Kg Kundang Patah. Turut serta adalah ibu bapa pelajar tahun 6 yang mendoakan kejayaan anak masing-masing dalam Peperiksaan UPSR akan datang.

LDK - Peserta bersama fasi ( Ustazah Hamidah)

Selesai sahaja bersolat Isyak, para pelajar menjalankan LDK yang dikendalikan oleh para ustazah dan ustaz SKKP. Jam 10.30 malam. para pelajar diarahkan tidur untuk memudahkan mereka bangun untuk qiamulail keesokkan harinya.Turut diadakan solat dhuha sebelum pelajar pulang ke rumah masing-masing.



Tuesday, April 17, 2012

Bengkel dan Lawatan Penanda Aras Program Pemulihan Khas Daerah Raub.

Hari ini telah tercatat dalam sejarah SK Kundang Patah apabila seramai 42 orang guru pemulihan dari semua sekolah di daerah Raub telah hadir ke SKKP untuk berkongsi maklumat dan input antara SK Kundang Patah dengan sekolah-sekolah lain. Kehadiran meraka merupakan satu penghormatan kepada SKKP kerana SKKP menjadi "benchmark" bagi Kelas Pemulihan Daerah Raub.

Turut diadakan adalah mesyuarat bagi Panitia Pemulihan Khas Daerah Raub yang membincang pelbagai perkara berkaitan antaranya aktiviti-aktiviti sepanjang tahun, perlantikan AJK dan lain-lain lagi.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Guru Besar SK Bandar Raub, Pn. Hashimah dan wakil PPD Raub, En. Azman Sohor. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir.




Mesyuarat Panitia Pemulihan Khas


Para peserta meneliti sistem fail Pemulihan Khas dan Linus

Guru Besar SKKP, GB SK Bandar Raub dan wakil PPD, En. Azman Sohor
Bilik Pemulihan SKKP yang menjadi "benchmark" bg daerah Raub

Pertandingan Bola Jaring & MTQ Peringkat Daerah

12/04/2012

Setelah cuti pada 11/04/2012 sempena pertabalan Yang Dipertuan Agong Ke-14 - Sultan Abdul Halim Muazzam Shah, team bola jaring SKKP di harap sudah bersedia untuk berentap di SK Ulu Sungai untuk mencari wakil zon ke peringkat daerah.


Team Bola Jaring bersama GPKKO dan guru pengiring.

Hujan renyai-renyai di awal pagi tidak menghalang Team SKKP dan pasukan dari sekolah lain untuk meneruskan acara. Perlawanan bermula lebih kurang jam 9 pagi apabila hujan kian reda.

Dalam pertandingan peringkat zon ini, SKKP bertemu dengan 3 buah sekolah.Malang bagi Team SKKP kerana tidak berjaya memenangi walau satu pun perlawanan yang disertai. Tapi, sekurang-kurangnya pengalaman mewakili sekolah di peringkat zon Batu Talam ini menjadi pengalaman berharga bagi setiap ahli pasukan.


Team SKKP menentang SK Ulu Sg (A)

Pada hari yang sama, Majlis Tilawah Al-Quran peringkat daerah juga telah diadakan di SK Raub Jaya. SK Kundang Patah telah menghantar 3 orang peserta: Abdul Hadzim - kategori tilawah ( mendapat naib johan), NorHaizira dan Mohad Alif Najmi - kategori bercerita - gagal mendapat tempat.

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya. Kepada yang tidak berjaya, giatkan latihan dari sekarang untuk persediaan pertandingan bagi tahun depan.





-Cikgu Rohaniza-

Wednesday, April 11, 2012

KURSUS LADAP 2

07/04/2012

Kursus LADAP 1 peringkat sekolah telah di adakan di Bilik Gerakan SK Kundang Patah. Taklimat kursus ini disampaikan oleh Cikgu Nor Liza Mohd Arif. Kursus LADAP kali ini adalah berkaitan dengan pengisian secara online SPLG - Sistem Pengurusan Latihan Guru. Kursus ini juga melibatkan kakitangan sokongan iaitu Pembantu Pentadbiran Perkeranian/ Operasi (PT)dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

Sistem ini secara kasarnya adalah satu soal-selidik tentang kepentingan dan keperluan kursus-kursus dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan profesionalisme bagi guru dan kakitangan KPM di Malaysia. Setiap guru dikehendaki mengisi sistem ini dengan menggunakan ID masing-masing, menjawab soal selidik yang di sediakan, dan menyenaraikan kursus-kursus luaran yang telah dihadiri setakat ini.

 Laman bagi SPLG boleh dilayari : http://apps.moe.gov.my/splg

Adalah diharapkan semoga kursus ini memberi manafaat kepada semua guru yang terlibat. Kerjasama para guru yang dalam menjayakan kursus ini amat-amat dihargai.

Gambar sekitar kursus:












Monday, April 9, 2012

Perhimpunan Mingguan - 09/04/2012

Salam 1 Malaysia...

Di perhimpunan mingguan hari ini, Guru Besar SK Kundang Patah, En. Ahmad Shapi'i telah sudi menyampaikan hadiah yang merupakan piala pusingan dan sijil penyertaan kepada 6 orang pelajar sekolah ini yang telah menyertai Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat zon Batu Talam yang telah berlangsung pada hari Selasa (3/4/2012). Dalam pertandingan peringkat zon ini, 3 orang pelajar telah berjaya mewakili zon ke peringkat daerah. Pelajar-pelajar tersebut:

1) Abdul Hazim b Abd. Mutalib ( Johan - Tilawah Al-Quran- Lelaki)
2) Mohd Alif Najmi b Baharuddin ( Naib Johan - Pertandingan Bercerita - Lelaki)
3) Norhaizira bt Khairuddin ( Naib Johan - Pertandingan Bercerita - Perempuan)

Tahniah diucapkan kepada pelajar yang telah berjaya. Pertandingan MTQ peringkat Daerah Raub akan dijalankan pada 12/4/2012. Semoga kejayaan akan terus mengiringi mereka....



Para pelajar bersama guru-guru pembimbing. Dari kiri: Ust. Afiq, Abdul Hazim, Norhaizira, Alia Natasya, Ustzh Hamidah, Ahmad Gadaffi, Mohd Alif Najmi, Nor Farahin dan Ust. Izzat.



Di perhimpunan ini juga, satu lagi program peningkatan UPSR telah diumumkan iaitu program Mentor Mentee. Program Mentor Mentee ini melibatkan semua pelajar tahun 6 seramai 16 orang dan semua guru SK Kundang Patah. Dalam perhimpunan ini turut diumumkan Mentor bagi setiap Mentee. Melalui program ini, peningkatan pembelajaran para pelajar akan dipantau oleh Mentor masing masing.







 Para guru menerima mentee masing-masing



Semoga program yang dirancang ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mampu meningkatkan prestasi pelajar dalam UPSR 2012.

Saturday, April 7, 2012

Kem Kecemerlangan UPSR 2012

Kem Kecemerlangan UPSR 2012 telah diadakan sebagai salah-satu program peningkatan UPSR bagi SK Kundang Patah. Kem Kecemerlangan ini diadakan dengan menggabungkan 3 buah sekolah berdekatan iaitu SK Kundang Patah ( sebagai tuan rumah), SK Semantan Ulu dan SK Tanjung Raja. Jumlah pelajar yang menyertai kem ini adalah seramai 31 orang pelajar.

Kem Kecemerlangan ini diterajui oleh guru-guru cemerlang dan penanda kertas peperiksaan daerah Raub. Guru-guru ini banyak memberi tips dan teknik-teknik menjawab kertas soalan UPSR. Sehingga kini, kem ini telah dilaksanakan sebanyak 3 kali, setiap Sabtu iaitu bagi matapelajaran B.M, Matematik dan Sains.

Kelihatan pelajar tekun menjawab kertas soalan yang diberikan...


Tips daripada Cikgu Shari hari ini kepada guru-guru baru: 

1) Kongsi pengalaman daripada guru-guru lama kerana teknik pengajaran ini tidak diajar di Institut Perguruan (walaupun ada subjek pedagogi ;).(* guru terbaik adalah pengalaman, yang pastinya tiada di Institut-institut perguruan)

2) Jadi guru inovatif - sediakan modul pnp.